Category Archives: Berita Lain

Dua-dua tercampak

Dua-dua tercampak

excident

Konvoi lima bersaudara ke tempat kerja berakhir tragedi menyayat hati apabila dua daripadanya maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang lori yang rosak di lorong kecemasan, di Kilometer 276.2, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, kedua-dua mangsa dipercayai warga Indonesia itu menaiki motosikal Suzuki Shogun 120, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Sumber berkata, lebih menyayat hati adik mangsa dikenali sebagai Yasir, 20-an, yang berada di depan terkejut sebaik menyaksikan kakaknya terpelanting menerusi cermin sisi motosikal dinaiki dilihat meraung dan memeluk mayat itu.

Jurucakap polis berkata, mangsa lelaki dikenali sebagai Suhar, 32, dipercayai bekerja kontrak di Sungai Gadut, di sini, manakala isterinya, Rina Nigfih, 30-an, operator kilang di Shah Alam, dari Yogyakarta.

“Kedua-dua mangsa dari Kapar, Klang menghala ke Sungai Gadut, Seremban, dalam perjalanan ke tempat kerja suaminya.

TRW tuai tuah di saat akhir

TRW tuai tuah di saat akhir

trw

 

Kota Bharu: Pemain pertahanan, Zairul Fitree Ishak muncul wira apabila tandukannya pada masa kecederaan memberikan kemenangan 2-1 kepada Kelantan ke atas PKNS di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Tuan rumah, Kelantan bermula garang dengan mengasak kubu PKNS menerusi percubaan Indra Putra Mahayuddin seawal minit keempat dan ketujuh tetapi percubaannya sedikit tersasar.

Pelawat sebaliknya membuka jaringan menerusi sepakan percuma pemain pertahanan, Helmi Remeli pada minit ke-13 selepas Obinna Nwaneri menjatuhkan Patrick Ronaldinho berhampiran kotak penalti.

Tersentak dengan jaringan itu, The Red Warriors menggandakan asakan dan usaha mereka berhasil apabila mendapat gol penyamaan pada minit ke-18 menerusi ketua pasukan Mohd Badhri Radzi atau Piya selepas rembatan kencangnya menerjah gawang PKNS.

Kelantan hampir menambah jaringan pada minit ke-43 menerusi Obinna Nwaneri, namun rembatannya sekadar singgah di palang gol skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim.

Babak kedua bermula rancak dengan Kelantan mencemaskan pintu gol PKNS apabila hantaran silang Shakir Shaari pada minit ke-49 singgah di kepala Kieta Mandjou namun tandukannya tepat ke dakapan penjaga gol PKNS, Mohd Remezey Che Ros.

PKNS hampir mencuri tiga mata menerusi Ronaldinho yang mendapat peluang terbaik apabila berjaya melepasi dua pertahanan Kelantan, namun rembatan penyerang Liberia itu melepasi palang gol tuan rumah.
Persembahan penyerang import Kelantan, Kieta Mandjou ternyata mengecewakan penonton apabila gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang terutama rembatannya lemah pada minit ke 90 ditangkap mudah penjaga gol PKNS.

Kelantan akhirnya mendapat gol yang dicari apabila Zairul menanduk masuk sepakan percuma yang diambil Piya pada masa kecederaan.

Bernikah Pada Usia 13 Tahun

Bernikah Pada Usia 13 Tahun

kahwin

KULIM: “Saya akan bertanggungjawab malah sudah bersedia untuk menjadi seorang suami yang baik,” kata Mohd Fahmi Alias, 19, yang berkahwin dengan Nor Fazira Saad, 13, di Masjid Kampung Padang Cina, di sini, pada 17 November lalu.

Mohd Fahmi berkata, dia dan isterinya akan berdikari selain menumpukan perhatian kepada perniagaan keluarga untuk melalui kehidupan sebagai suami isteri.

Menurutnya, atas persetujuan kedua-dua ibu bapa mereka dan untuk mengelak berlaku maksiat adalah lebih baik mereka berdua berkahwin walaupun pasangannya itu masih muda remaja.

“Saya mengambil keputusan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Nor Fazira serta keluarganya dan keluarga saya sendiri.

“Kedua-dua ibu bapa kami bersetuju untuk mengahwinkan kami, malah Nor Fazira sendiri sanggup mengalas tanggungjawab dan sudah bersedia menjadi seorang isteri.

“Daripada bergelumang maksiat dan melakukan perkara yang dilarang, jalan terbaik ialah kami berkahwin, walaupun pada pandangan masyarakat ia agak janggal pada zaman sekarang ini kerana berkahwin pada usia terlalu muda.

“Malah saya tidak menghalang sekiranya isteri ingin melanjutkan pelajaran, semua bergantung kepada kepada kemahuannya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Naga Lilit, di sini, semalam.

Katanya, mereka akan mengadakan majlis kenduri di sebelah lelaki pada Sabtu ini di rumah keluarganya.

Mohd Fahmi yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, dia sudah bersedia bergelar suami dan tidak kisah pandangan rakan-rakan seusia.

Isterinya, Nor Fazira tidak mengganggap usia mudanya menjadi penghalang untuk menjadi isteri isteri dan sudah bersedia menjalankan tanggungjawabnya itu.

“Yang penting kami mendapat restu kedua-dua ibu bapa kami dan saya banyak menerima tunjuk ajar daripada keluarga mentua.

“Saya tidak kisah apa orang lain kata, penting perbuatan kami tidak salah, malah adalah lebih baik daripada kami terbabit gejala sosial,” katanya yang tidak bersekolah sejak menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun lalu.

Sementara itu, bapa Nor Fazira, Saad Mustaffa, 43, berkata, tindakannya mengahwinkan anak di usia muda kerana mahu menjaga nama semua pihak dan tidak mahu anaknya terjebak maksiat.

Katanya, dia membenarkan anak gadisnya itu berkahwin kerana Nor Fariza enggan pulang ke rumah dan mahu tinggal di rumah teman lelakinya. “Siapa tak sayangkan anak dan sanggup untuk mengahwinkan mereka dalam usia terlalu muda, namun saya terpaksa juga mengahwinkan anak saya walaupun usianya baru 13 tahun bulan depan.

“Hanya Allah tahu perasaan saya… walaupun pahit demi untuk menjaga nama baik keluarga saya dan keluarga besan lebih baik saya mengahwinkan anak dengan lelaki pilihannya.

“Anak saya bernikah pada 17 November lalu selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November lalu,” katanya.

Dia berkata, majlis pernikahan mereka berlangsung di Masjid Kampung Padang Cina, di sini, pada 17 November lalu dengan wang hantaran RM4,552 serta mas kahwin RM1,500.

“Saya berharap menantu serta keluarganya membimbing anak saya menjadi anak dan isteri yang baik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kulim, Sheikh Radzi Abdul Mutalib, berkata, bagi perempuan berusia 16 tahun ke bawah dan lelaki berusia 18 tahun ke bawah, mereka perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk kebenaran bernikah di bawah umur dari Mahkamah Rendah Syariah Kulim.

“Ia mengikut seksyen 18 (1)(a) Enakmen Undang Undang keluarga Islam Kedah 2008,” katanya.